Wednesday, 29 May 2013

Ujian sakit dan Pertemuan Itu




Malam yang dingin menghembus susuk tubuh. Aku masih tak tidur walaupun malam sudah menjangkau lewat dalam kesepian. Menunggu mata agar dia pejam untuk seketika.  Bagai memikirkan sesuatu yang dari tadi tak dapat aku pasti apa sebenarnya yang sedang bermain dalam benak fikiran. Hati bagaikan resah sedang mengharapkan agar ia tenang walau seminit cuma. Puas sudah mengiring badan ke kiri dan ke kanan. Sambil diiringi bunyi cengkerik yang tak henti-henti memecah suasana hening nan sepi malam itu. Sama bertindak dengan kelajuan hati yang resah. Masih terfikir. Satu ujian dr Allah yang paling besar yang pernah aku ketemui dan tentang pertemuan itu. Kenalan yang hanya sementara. Kedua-duanya berlaku hampir pada waktu yang sama.

Masih teringat.
Dua minggu sebelum itu, aku demam teruk. Walhal ada exam yang perlu aku hadiri. Exam yang akan masuk dalam result transkrip aku bagi semester 5. Demam yang sangat kuat, diiringi dengan batuk yang berpanjangan, selesema, sakit tekak serta mengeluarkan suara yang garau dan sakit kepala yang teramat sangat. Tak pernah begini sepanjang waktu pengajian ketika saat-saat menghadapi peperiksaan akhir Sungguh berat ujian itu. Subhanallah.. Sakit. derita dan sengsara. Manakan hilang tenaga sementelah makan pun langsung tak ada selera. Hilang rasa, deria bau mahupun seri pada wajah juga turut diambil malaikat untuk hanya seketika. Sakit yang menghapus doa-dosa kecil. Alhamdulillah.. Namun, aku masih bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas. Sakit yang ku rasa inilah saat kesakitanku untuk kali terakhir. Sungguh luar biasa.

Tiba-tiba teringat akan diriku yang hanya mampu baring sambil menelaah buku. Kepala yang berat akibat selesema yang berpanjangan tambahan demam yang kuat tak mampu aku hadapi di saat membuat revision untuk final exam ketika itu. Hanya linangan air mata yang mengiringi bertemankan batuk yang tak henti-henti. Puas aku merintih pada yang Esa agar Dia mengampunkan dosa-dosaku. Dosa pada orang tua, pada saudara-mara hatta pada sekalian makhlukNya. Doa juga semoga aku boleh menjawab exam dengan tenang dan damai setelah segala usaha yang aku berikan. Harapanku cuma ingin cepat pulang ke rumah dan berehat dengan bahagianya. 

Derita khifarah dosa itu terus menemani aku sepanjang berada di dalam dewan exam.  Puas jugak aku bernafas dengan sebaik mungkin bergantung pada oksigen di segenap ruang dewan exam. Puas jugak aku menekup mulut agar tidak batuk terlalu kuat sehingga menganggu konsentrasi pelajar lain yang turut sama menjawab soalan ketika itu. Tapi apakan daya. Hanya Allah yang tahu rasa itu. Tak terdaya. Tubuhku menggigil menahan sejuk aircond yang menyelubungi segenap ruang dimensi dewan.

Usai menjawab paper terakhir iaitu bahasa mandarin pada malam tersebut,  aku bergegas balik ke hostel. Terpa saja ke dalam bilik, terus aku mencari baju untuk dilipat dan terus saja packing ke dalam beg. Manakala baju busuk yang lain dan tak sempat nak basuh terus aku humban ke dalam beg plastik untuk basuh di rumah. Malam itu aku tidur agak nyenyak sebab dah tak perlu memikirkan lagi soal exam. Semuanya aku berserah pada Allah yang satu.

Esok harinya, bangun saja dari tidur, aku  menelefon abah dan bertanya bila agaknya beliau nak sampai UUM. Hati ni dah tak sabar untuk pulang dan berehat sepuas-puasnya setelah melalui episod ‘derita’ itu. Kata ayah dia akan pergi selepas solat Jumaat memandangkan ketika itu hari Jumaat. Aku senyum gembira dan menanti kemunculan abah. Tak lama selepas itu abah tiba tepat jam 11:00 pagi. Setelah penat memandu dari ruamhku yang terletak di Sungai Petani ke UUM, Sintok yang hanya mengambil masa satu jam setengah.

Hatiku berbunga gembira untuk pulang ke rumah demi memanjakan diri setelah penat ia mengerah tenaga ketika menjawab final exam.

8:04 minit malam
Selepas dua hari berehat di rumah
Aku dikejutkan dengan berita kematian seorang kenalan yang aku cukup kenalinya ketika sama-sama menuntut di university yang sama. Aku cukup kenali dia yang bagiku dia adalah insan yang sangat baik dan agak akrab denganku. Saudara itu adalah pelajar dari fakulti art & science. Walaupun tak sama fakulti kerana aku adalah pelajar dari college of business tapi kami agak rapat. Selalu saja kami bertegur sapa jikalau terserempak di dewan kuliah. Malahan di FB, kami juga sempat berchatting. Terasa baru semalam aku bertemu dia. Seingatnya, sebelum final exam juga kami pernah terserempak di kompleks sukan ketika kami sedang berada di depan kaunter pendaftaran kad matrik.

“Dia sudah tiada lagi. Eksiden motor”. Itulah sms yang aku terima dari seorang kawan.

Sungguh tergamam. Tiada kata-kata untuk meneruskan luahan rasa yang dapat menggambarkan perasaan aku ketika itu. Dia pergi dari pandangan aku. Jika dulu kami bertemu ketika sama-sama menghadiri satu sesi temuduga untuk jurusan kaunseling di univerisiti yang sama. Ketika itu aku merasakan dia memang budak baik lantaran sifatnya yang happy go lucky. Tak pernah menyakiti mahupun menjengkelkan. Sikapnya sangat menyenangkan.

Tapi kini dia sudah tiada lagi di hadapanku. Di pandangan rakan-rakannya yang lain juga. Malahan gelak tawanya juga tak akan dapat dilihat oleh para pensyarah yang mengajarnya.
Lalu, aku yang terpana dengan berita itu, terus bukak akaun fb dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Ramai rakan-rakannya sedih atas kematian arwah. Dia cukup dikenali dengan sifat pemurahnya dalam menghiburkan hati sesiapa. Asstagfirullahalazim..Pemergiannya masih dirasai.

Hampir tiga hari aku berfikir tentang arwah. Memikirkan yang dia tidak sempat menghabiskan pengajiannya yang cuma berbaki setahun setengah. Aku terfikir begitu cepat dia pergi meningglkan kami sebagai rakan-rakan sepengajian. Begitu cepat dia meninggalkan alam fana ini tanpa mengirimkan sebarang pesanan yang terakhir.

Ya Allah, semoga kau rahmati ke atas rohnya. Hanya Al-fatihah yang boleh mengiringi pemergiannya itu. Dan setiap kali aku teringat arwah, Al-Fatihah pasti akan ku sedekahkan.
Kini genap setahun tiga bulan arwah pergi. Namun sehingga ke hari ini pemerginnya masih dirasai. Mungkin dia yang baik dan lebih disayangi Allah. Oleh kerana itu, Allah swt mengambil nyawanya dulu. Dan acap kali itu juga, pertemuan itu mencoretkan satu kenangan abadi yang tak mungkin akan pernah ku lupakan ketika mengenali arwah satu ketika dulu.



Al- Fatihah